say something

Sunday, September 13, 2009

Kajian Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir nusantara (Tafsir Anwar Baidhawi & Tafsir Nur Al Ihsan)

PENGERTIAN ISRAILIYYAT

Perkataan Israiliyyat adalah diambil daripada kata jamak. Mufradnya adalah diambil daripada kata Israiliyyah, yang dinisbahkan kepada Bani Israil (keturunan Israil). Manakala Israil pada asalnya adalah nama Nabi Allah Yaakob (a.s.) yang membawa maksud Abdullah atau hamba Allah. Bani Israil atau keturunan Israil ialah keturunan Nabi Yaakob (a.s.) yang berkembang hingga kepada Nabi Musa
(a.s.) dan seterusnya nabi-nabi yang datang silih berganti, sehinggalah keturunannya yang terakhir iaitu Nabi Isa (a.s.).


Keturunan Nabi Yaakob (a.s.) atau Bani Israil sejak beberapa zaman yang lalu dikenali dengan panggilan Yahudi. Keturunan yang beriman kepada Nabi Isa (a.s.) pula dikenali dengan nama Nasara atau Nasrany. Manakala yang beriman dengan Nabi Muhammad (s.a.w.) pula telah menjadi sebahagian daripada umat Islam dan dikenali dengan Muslim ahl al-Kitab (Abu Syaybah 1408: 12).

Israiliyyat menurut istilah ahli tafsir ialah kisah-kisah Yahudi yang menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam melalui tafsir al-Quran yang banyak berlaku di zaman tabi’in. Namun ulama tafsir dan hadith menggunakan istilah Israiliyyat terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disampai oleh musuh-musuh Islam ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam (al-Dhahabi 1990: 13)

_______________________________________________________________________________________


Sebagaimana dalam kitab kitab tafsir Arab, pengaruh dan kisah-kisah israiliyyat juga meresap ke dalam tafsir-tafsir di nusantara ini,di sini kami mengambil contoh dua kitab tafsir nusantara iaitu Tafsir Anwar Baidhawi karangan Syeikh Abdul Rauf B. Ali Al-Fansuri Singkili dan Tafsir Nur Al Ihsan karangan Haji Muhammad Sa’id B. Umar Khattab B Aminuddin B Abd Karim..




Tafsir ANWAR BAIDHAWI

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi banyak memaparkan kisah-kisah israiliyyat yang bertentangan dengan tafsiran mufassir muktabar seperti Ibnu Kathir,Syed Qutb dan Al Maraghi.Malah beliau juga tidak mendatangkan penjelasan tentang kesahihan atau kebathilan sesuatu riwayat israiliyyat..Berikut ialah contoh kisah israiliyyat dalam tafsir Anwar Baidhawi …



Penulis tafsir.
Abd. al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh Abdurrauf Sheikhkuala, merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan karyawan. Beliau dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat Sumatera). Mengenai tarikh kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa riwayat yang berbeza. Ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang
menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M. Bagaimanapun, tidak terdapat percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal dunia pada tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44).

Contoh Tafsiran Dengan Kisah Israiliyyat


Kisah Nabi Sulaiman (a.s.) dengan Puteri Balqis Firman Allah (s.w.t.) dalam al-Quran bermaksud:
Setelah itu dikatakan kepadanya, dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka tatkala ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta iapun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata, sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca. Mendengar yang demikian, Balqis berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan sekarang aku menegaskan bahawa aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman kepada Allah Tuhan sekalian alam (al-Naml 27: 44).

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi mentafsirkan maksud ayat ini dengan menyatakan:
Tatkala dikhabarkan oleh jin kakinya seperti kaki keldai maka disuruh Sulaiman segala syaitan berbuat halaman dari kaca supaya dicubainya dengan tiada menyuruh membukakan kainnya maka tatkala disumbatkan oleh Balqis kainnya maka tahulah ia akan baik kakinya
(al-Fansuri t.th.: 305).
Selain daripada itu, pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi ini juga menyatakan bahawa:
Tatkala berkehendak kepada Sulaiman mengahwin dia maka benci ia akan bulu betisnya dan dibubuh oleh segala syaitan baginya kapur maka dihilangkannya ia dengan dia… (al-Fansuri t.th.: 305).

. Kisah Talut dan Jalut Kisah ini diceritakan oleh Allah (s.w.t.) dalam al- Quran bermaksud:
Dan nabi mereka berkata lagi kepada mereka: Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu ialah datangnya kepada kamu peti tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga nabi-nabi Musa dan Harun, peti tabut itu dibawa oleh oleh malaikat, sesungguhnya peristiwa kembalinya tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu, jika benar kamu orang yang beriman (al-Baqarah 2: 248).

Abd. Rauf Fansuri mentafsirkan ayat ini dengan katanya (al-Fansuri t.th.: 7):
Dan telah berkata bagi mereka itu Nabi mereka itu tatkala dituntut mereka itu daripadanya tanda atas kerajaan Thalut itu bahawasanya tanda kerajaannya bahawa didatangkan akan kamu suatu peti di dalamnya ketetapan bagi segala hati kamu daripada Tuhan kamu dan yang mati daripada peninggalan Musa dan Harun pada hal menanggung akan dia segala malaikat. Tersebut di dalam Khazin adalah peti itu di dalamnya rupa segala nabi yang diturunkan Allah Taala ia atas Adam maka turun temurun hingga datang kepada Musa dan adalah mereka itu menuntut kemenangan pada Allah Taala dengan berkat peti itu atas seteru mereka itu dan dihantarkan mereka itu peti itu di hadapan mereka itu maka tatap (melihat) mereka itu kepadanya tatkala perang dan ditaruh di dalamnya oleh Musa, Taurat dan mata bendanya di taruh Harun di dalamnya tengkoloknya maka tatkala mati Musa tinggalah peti itu pada padang maka tatkala ditentu oleh mereka itu akan tanda kerajaan Thalut maka ditengking akan dia oleh malaikat antara langit dan bumi pada hal mereka itu menilik kepadanya hingga dihantarkan malaikat akan peti itu pada Thalut maka percayalah mereka itu akan kerajaan Thalut.


______________________________________________________________________________________


Tafsir NUR AL IHSAN


Sementara itu,pengarang tafsir Nur Al Ihsan juga turut memaparkan kisah-kisah israiliyyat yang mana kebanyakannya di ambil terus daripada kitab tafsir Ma’alimu At Tanzil karangan Imam Baghawi tanpa sebarang tapisan dan kritikan…Berikut ialah contoh israiliyyat dalam kitab tafsir ini…


Penulis Tafsir
Nama penuh pengarang kitab Tafsir Nur Al-lhsan ialah Haji Muhammad Sa‘id bin Umar Khatab bin Aminuddin bin Abdul Karim. Beliau dilahirkan pada tahun 1275 Hijrah bersamaan 1854 Masihi di Kampung Kuar, Jerlun di negeri Kedah Darul Aman. Dalam usianya 75 tahun, beliau masih lagi berkhidmat sebagai Qhadi. Pada masa itu, beliau menghidapi penyakit lumpuh sebelah badan.Kemudian beliau telah dibedah. Selepas itu beliau dibawa pulang ke pangkuan isterinya yang kedua di Jitra. Setelah beberapa hari di sana, beliau kembali ke Kancut bersama dengan isterinya yang ketiga. Pada hari Rabu selepas Asar, 9 Mac 1932 beliau telah kembali ke Rahmatullah. Jenazah beliau telah disemadikan di masjid Alor Merah, Alor Setar, Kedah (Ahmad Awang, 1995196: 8)


Contoh Tafsiran Dengan Kisah Israiliyyat

Tafsiran pengarang pada ayat 13, Surah al-Kahfi. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk ”
Tafsirannya berdasarkan kitab Nur Ihsan:
“Kami cerita atas engkau ya Muhammad akan khabaran mereka itu dengan sebenar, bahawa mereka itu beberapa orang muda- muda yang beriman dengan tuhan mereka itu. Kata Ibn Abbas, tujuh orang Makslamina, Tamlikha, Marthunas, Nionunas, Sarobunas, Zununas, dan Falentionunas adalah merupakan Seorang pengembala kambing. Nama anjing Qitmir.khiasiat segala nama-nama itu bagi sembilan perkara. Bagi Talib dan Harbi: Tuntut dan lari dan padam terbakar, disurah pada perca kain lempar tengah api dan bagi menangis budak-budak dan bagi demam selang dan bagi sakit kepala diikat lengan kanan dan bagi Umm Sibyan: hantu pengusik budak-budak dan bagi berjalan pada darat dan laut dan bagi pelihara harta dan bagi bertambah akal dan bagi lepas orang yang berdosa. Kata setengah ulama ajar oleh kamu akan anak kamu ini segala nama-nama. Maka bahawasanya jika disurah dipintu rumah tiada terbakar dan atas mata benda tiada kena curt dan atas perahu tiada karam. Adalah mereka itu orang besar-besar negeri Efsus dalam negeri Rom.
Kemudian daripada Nabi Isa a.s.
Tujuh orang dengan gembala kambing lapan dengan anjingnya. Tatkala zalim ahli Injil dan mauk kerja maksiat kafir hingga sembah berhala dan sembelih
baginya. Dan ada dalam negeri itu orang yang berpegang dengan agama Isa, ibadah ALLAH s.w.t dan tauhidnya. Dan raja, negeri kafir nama Dikyanus. suruh manusia sembah berhala dan sembelih baginya dan bunuh orang yang menyalahinya. Maka mashurlah orangyang tujuh itu pada raja disuruh panggil. Maka kata raja apa kerana kamu tiada mau ikut seperti orang-orang negeri sekarang kamu pilih amma masuk agama kami dan amma kena bunuh. ”
(Haji Muhammad Said, 3: 56)

Secara keseluruhannya ayat yang diperbahaskan ini mempunyai banyak periwayatan yang berbeza-beza dan merupakan kisah yang begitu terkenal. Kisah Ashabul Kahfi ini merupakan salah satu kisah yang terdapat di dalam al-Qur‘an supaya kita mengambil pengajaran daripadanya. Walaupun begitu kisah-kisah seperti ini sering berlaku penambahan jalan ceritanya yang hendak disampaikan sehinggakan perkara yang tidak dinyatakan menjadi tajuk penting perbincangan.

Kisah Israiliyyat sebagaimana yang terdapat di dalam kisah Nabi Nuh a.s. di dalam Surah Hud ayat 37.
“Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelam”

Tafsiran Kitab Nur Al-lhsan:
“Dan perbuat Nuh akan bahtera daripada kayu jati ditanamnya 100 tahun kemudian dipotong perbuat bahtera itu 100 tahun. Panjang 300 hasta lebar 50 hasta, tinggi 30 hasta, tiga lapisan maka binatang yang liar dan buas dilapisan bawah, binatang kambing dan binatang ternakan di lapisan tengah, Adam dengan anaknya di atas sekali, telah didahului 40 lelaki dan 40 perempuan, maka tatkala banyaknya tahi-tahi binatang diwahyukan ALLAH s.w.t. kepada Nuh bahawa menyentak ekor gajah maka jatuh daripadanya babi jantan dan betina dan sapu di atas babi betina keluarlah tikus yang makan tahi-tahi binatang itu. Dan tatkala binasa tikus akan tali-tali bahtera maka diwahyu disuruh pukul unta dua mata harimau maka keluar daripada lubang hidungnya kucing jantan dan betina maka makan akan tikus itu.


Kesimpulan
Pengaruh israiliyyat sedikit sebanyak telah menular masuk dalam tafsir dan hadith,sehingga sesetengahnya menimbulkan kekeliruan dan tanggapan yang salah dalam agama.Oleh yang demikian ,kita sebagai pelajar dalam bidang agama perlu memperbetulkan tafsiran-tafsiran yang salah terhadap al-quran kepada masyrakat umum.



Artikel ini pada asalnya ialah assingment Admin untuk subjek "Israiliyyat dalam pengajian al-Quran dan Hadith"



No comments:

Post a Comment