say something

Sunday, October 18, 2009

Sosiologi Agama: Agama dalam Masyarakat Majmuk

Dalam sejarah manusia, Tuhan telah menurunkan berbagai agama, di antaranya tiga agama serumpun yang dibawah oleh keturunan Nabi Ibrahim a.s (Abraham) Bapa Bani Israel dan Arab iaitu Yahudi, Kristian (Katholik dan Protestan), dan Islam. Ketiga agama tersebut masih wujud dan merupakan agama terbesar di dunia sekarang, Dua agama besar yang lain, iaitu Hindu dan Buddha diklasifikasikan oleh para ahli sejarah agama sebagai agama budaya atau agama wad’i iaitu bukan melalui wahyu.


Kepelbagaian agama dan juga etnik, menyebabkan susunan masyarakat dunia, termasuk Majmuk, menjadi plural dan majmuk. Keadaan demikian, seringkali menimbulkan ketegangan antara umat beragama dan antara etnik. Konflik “abadi” antara Israel dengan Arab ( umat Yahudi dengan Muslim dan Kristiani) di Palestin, permusuhan antara puak Katholik dan puak Protestan di Ireland Utara, ketegangan antara umat Hindu dan Muslim di India yang seakan-akan tidak mungkin reda, dan rentetan daripada konflik-konflik itu memberi tanggapan seolah-olah agama merupakan salah satu faktor terjadinya konflik itu. Jika keadaan demikian dibiarkan, maka pada akhirnya agama akan mengalami stigmatisasi dalam masyarakat global. Agama tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Masyarakat akan kembali menganggap bahwa agama itu tidak hanya sebagai the opium for the people tetapi lebih dari itu sebagai homo homoni lupus bagi sesama umat beragama.

Sudah tentu pandangan negatif terhadap agama seperti itu tidak benar. Tetapi realiti sosial seperti digambarkan di atas, menunjukkan adanya perbezaan antara doktrin agama dengan sikap dan perilaku umatnya serta terdapat kekeliruan dalam memahami beberapa prinsip asas agama. Prinsip-prinsip asas yang berkaitan dengan kemanusiaan dan kehidupan bermasyarakat, pada hakikatnya sama pada semua agama. Dengan demikian, perbezaan antara satu agama dengan agama lainnya bukan merupakan faktor penghalang dalam kehidupan bermasyarakat.

Pada era globalisasi seperti sekarang ini terdapat peluang untuk terbentuknya masyarakat pluralistik terutama dari segi agama dan etnik. Meskipun migrasi penduduk secara besar-besaran telah terhenti sejak beberapa abad yang lalu, tetapi pada masa keterbukaan dan informasi serta komunikasi yang maju seperti sekarang ini, memungkinkan terjadinya mobilisasi penduduk dari satu daerah ke daerah yang lain dengan pelbagai alasan. Setelah Perang Dunia II, sebahagian orang Asia dan Afrika berpindah ke Amerika dan Eropah dan membentuk komuniti minoriti dengan etnik dan agama yang berbeza dengan masyarakat setempat. Proses pembentukan masyarakat pluralistik dan majmuk seperti ini akan terus berlangsung pada era globalisasi, sehinggakan batas-batas wilayah atau negara tidak mampu lagi mencegah terjadinya perpindahan penduduk dan menyebabkan munculnya masyarakat majmuk dipelbagai kawasan dunia ini. Bahkan masyarakat majmuk akan menjadi pertanda utama dari suatu masyarakat yang telah maju.

Masyarakat majmuk dari segi etnik dan agama, sesungguhnya merupakan anugerah dan kehendak Tuhan. Tuhan Yang Maha Kuasa telah menetapkan hukum-hukum-Nya, selain berupa doktrin agama juga berupa ketentuan yang berlaku pada alam dan manusia yang lazim disebut hukum alam (sunnatullah). Sebagaimana yang diajarkan oleh agama, nenek moyang manusia itu adalah seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa), kemudian dari keduanya lahirlah manusia yang banyak dalam berbagai etnik. Keberbedaanya sebagai pengaruh geografis di mana manusia lahir dan dibesarkan. Kepelbagaian etnik manusia merupakan kehendak Tuhan yang telah ditetapkan dengan ketentuan-ketentuan alam yang bersifat biologi.

Kepelbagaian agama, diyakini sebagai kehendak Tuhan yang Dia mengutus ramai rasul dan nabi yang bertugas menyampaikan agama kepada umatnya. Beberapa nama yang disebutkan dalam Al kitab seperti Nuh, Ibraham, Ismail, Ishak, Ya’kub, oleh Islam disebutkan sebagai rasul dan nabi Allah yang membawa agamanya masing-masing untuk umatnya. Nabi dan rasul itu sangat banyak, walaupun di dalam kitab suci Islam hanya disebutkan 25 orang. Namun demikian, masih banyak di antara mereka yang tidak disebutkan. Kemungkinan diantara nabi dan rasul yang tidak disebutkan itu, termasuk pembawa agama Hindu dan Budha. Jadi kepelbagaian agama yang pernah dan masih ada di dunia ini berasal dari Tuhan dan atas kehendak Tuhan.
Manusia lahir sebagai etnik tertentu, bukan atas pilihan atau kemahuan sendiri. Kelahiran itu sebagai suatu peristiwa biologi. Tetapi manusia mempunyai kebebasan untuk memilih salah satu dari agama-agama itu menjadi anutannya. Itulah sebabnya seseorang yang lahir dalam suatu etnik tertentu tidak dipertanggungjawabkan kepada Tuhan, sedangkan seseorang yang memilih untuk menjadi penganut suatu agama atau tidak beragama, akan dipertanggungjawabkan kepada Tuhan. Oleh kerana kepelbagaian etnik dan agama merupakan kemahuan Tuhan, maka segala kegiatan dan usaha dengan maksud untuk menghilangkan suatu etnik atau untuk meyingkirkan suatu agama dari suatu masyarakat, termasuk perbuatan dosa dan bertentangan dengan hak asasi manusia.
_______________________________________________________________________________________


(1) Pengertian Agama dan masyarakat majmuk.

1.1 Pengertian Agama menurut Islam.

Agama atau bahasa arabnya ad-Din berasal dari asal kata da ya na. Dalam kamus arab tradisional ia memberikan banyak pengertian , dari berbagai makna dayana terdapat 4 pengertian yang mempunyai hubung kait dengan agama menurut persepsi Islam antaranya ialah:


1.Dain/qardh bermakna hutang. Dalam hal ini ia berkaitan rapat dengan kewujudan manusia yang merupakan suatu hutang yang perlu dibayar.Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 245 :

مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Terjemahannya: Siapakah orangnya Yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya Dengan berganda-ganda banyaknya? dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Manusia yang berasal dari tiada kemudian dicipta dan dihidupkan lalu diberi berbagai nikmat yang tak terhingga. Sebagai peminjam kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa, akan tetapi Pemilik sebenar adalah Allah S.W.T manusia hanyalah diamanahkan untuk dipergunakan dalam ibadah. Oleh kerana tidak memiliki apa-apa, manusia tidak dapat membayar hutangnya maka satu-satunya jalan untuk membalas budi adalah dengan beribadah, dan menjadi hamba Allah yang mana adalah tujuan daripada penciptaan manusia.Ini berdasarkan Firman Allah dalam suara adz-Dzariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Terjemahannya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.


2.Maddana juga berasal dari kata dana, dari kata ini wujudlah istilah madinah dan madani, maddana yang membawa maksud membangun dan bertamaddun, oleh itu madinah dan madani hanya boleh digunakan untuk masyarakat yang beragama dan bukan sekular. Dari pengertian ini juga kita lihat ianya berhubung kait dengan konsep khilafah dimana manusia telah diamanahkan oleh Allah sebagai khalifahNya di muka bumi untuk memakmurkan bumi dan membangun tamadun yang sesuai dengan keinginan Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 5:

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

Terjemahannya: Dan Kami hendak berihsan Dengan memberikan pertolongan kepada kaum Yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang Yang mewarisi (Apa Yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).



3. Dana juga memberi pengertian kerajaan (judicious power). Konsep ini sangat berkaitan dengan tauhid uluhiyyah yang merupakan perkara paling penting dalam aqidah Muslim. Seseorang itu tidak diterima imannya dengan hanya percaya kepada Allah sebagai Rabb akan tetapi ia hendaklah iman kepada Allah . Ini bermakna Allah adalah satu-satunya tuhan yang disembah, ditaati, dialah penguasa dan Raja. Tauhid uluhiyyah ini yang membezakan musyrikin dengan mu’minin. Dari sinilah lahirnya Istilah al-hakimiyyah dimana seoarang muslim harus menerima Syari’at Allah dan tidak boleh tunduk kepada undang-undang buatan manusia. Kerana Allah Yang maha bijaksana dan maha mengetahui telah menetapkan hukum syari’ah yang sesuai untuk manusia untuk ditegakkan dan dipatuhi.Berdasarkan firman Allah dalam surah Yusuf ayat 40:

مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِ إِلاَّ أَسْمَاء سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَآؤُكُم مَّا أَنزَلَ اللّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ أَمَرَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ


Terjemahannya: Apa Yang kamu sembah, Yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama Yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang Bukti Yang membenarkannya. sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah ugama Yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.



4.Pengertian yang lain ialah kecenderungan (inclination). Sudah menjadi fitrah manusia diciptakan mempunyai kecendrungan untuk percaya kepada perkara yang supernatural, percaya adanya tuhan yang mengatur alam semesta dan kuasa ghaib disebalik apa yang dicerna oleh indera manusia. Inilah yang dinamakan dinul fitrah . Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia .



1.2 Pengertian Agama menurut ahli Sosiologi.

Menurut Durkheim “ Agama ialah satu sistem kepercayaan yang seragam atau amalan-amalan yang bersangkutan dengan sesuatu yang suci, kepercayaan dan amalan yang bersatu kemudiannya membentuk suatu komuniti moral yang tunggal.” . Antara elemen yang wujud dalam definisi ini termasuklah kepercayaan, amalan, entiti suci yang tidak boleh dicapai, Pada awal pendefinisiannya Durkheim lebih menekankan tentang fenomena beragama daripada agama itu sendiri dan tidak menyebut lansung tentang komuniti mahupun sesuatu yang suci.

Berbeza dengan Max Weber, beliau tidak pernah memberikan definisi yang khusus tentang apakah itu agama. Tetapi kita boleh menemukan beberapa petunjuk daripada beberapa penulisannya berkenaan hal ini. Dalam kajiannya mengenai sikap ekonomi dalam agama dunia beliau menggambarkan agama sebagai “ satu sistem yang mengatur kewujudan manusia.” yang mana ianya cukup berjaya dalam “ mengumpulkan mereka dalam jumlah kepercayaan yang besar”.

J.Milton Yinger melihat agama sebagai satu kepercayaan dimana suatu masyarakat atau kelompok manusia berjaga-jaga menghadapi masaalah terakhir dalam hidup ini.Dunlop juga mempunyai pendapat yang sama dimana ia melihat agama sebagai pembantu terakhir yang dapat menolong manusia.Maka beliau merumuskan bahawa agama adalah suatu institusi atau bentuk budaya yang menjalankan fungsi pengabdian kepada umat manusia .

Manakala bagi Joachim Wach pula berpendapat aspek yang perlu di beri penekanan khusus ialah:

Pertama: ialah unsur teoritisnya bahawa agama adalah suatu sistem kepercayaan.

Kedua: unsur praktisnya ialah yang berupa sistem yang mengikat penganutnya

Ketiga: aspek sosiologi dimana agama mempunyai sistem perhubungan dan interaksi sosial .





1.3 Apa itu masyarakat Majmuk

Menurut kamus dewan konsep masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang menetap bersama –sama di suatu tempat dengan mengikut aturan dan cara tertentu .Masyarakat ini terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa.Oleh itu gabungan kedua-dua istilah Masyarakat majmuk yang membawa maksud mayarakat yang mengandungi beberapa kumpulan etnik yang hidup bersama-sama dan bercampur gaul, tinggal dalam satu unit politik yang sama tetapi hidup secara berasingan dan tidak bersatu padu, dan mempunyai budaya yang tersendiri.

Manakala menurut Furnival , beliau mengatakan bahawa masyarakat majmuk muncul akibat daripada dasar-dasar penjajah yang mengalakkan penghijrahan penduduk mengikut keperluan ekonomi dimana ia telah megakibatkan mewujudkan kelompok yang pelbagai ragam dalam satu unit politik.Kelompok-kelompok ini bercampuran tetapi mereka tidak bergantung antara kaum lain dan mereka amat berpegang teguh kepada agama,bahasa, budaya dan cara hidup yang tersendiri .

Leo Kuper (1974 dan 1977) merasakan teori structural fungsionalisme dan Marxisme tidak menjelaskan cirri-ciri utama masyarakat yang dipisahkan oleh etnik dan ras. Kuper berpendapat kita boleh membuat deduksi tentang teori masyarakat majmuk dengan mengandaikan teori kelas boleh menjelaskan bentuk pengkategorian ras dalam masyarakat. Dalam hal ini, bentuk ikatan utama dan konflik yang akan timbul terbentuk hasil hubungan kumpulan dengan cara pengeluaran dalam ekonomi.

Teori Kuper tentang hubungan ras dalam masyarakat majmuk didasarkan kepada usul:
• Masyarakat yang terdiri daripada kumpulan status atau tuan tanah yang boleh dibezakan mengikut fenotaip,berada di tempat berbeza dalam ssunan ekonomi,dan terikat dalam sector politik di tahap yang berbeza,Dalam masyarakat majmuk,hubungan politik mempengaruhi hubungan cara pengeluaran dan lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan hubungan sebaliknya.

• Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk,konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras,bukan garisan kelas.

• Kategori ras dalam masyarakat majmuk ditentukan oleh sejarah; dan kategori berkenaan dibentuk oleh persaingan dan konflik antara kumpulan.

Secara keseluruhannya masyarakat majmuk terbentuk adalah daripada sikap masyarakat itu sendiri.selain itu perlu ditegaskan bagi memastikan kesepaduan dan kestabialan dalam hubungan sesama masyarakat penelitan sejarah adalah suatu yang amat penting .


_______________________________________________________________________________________

(2) Peranan agama terhadap masyarakat.

Secara amnya peranan agama dalam masyarakat ialah membantu dalam menyembuhkan seseorang individu,apabila individu telah sembuh daripada penyakit-penyakit sosial,maka keluarganya pula akan sembuh dan seterusnya masyarakat pula akan sembuh. Kebanyakan penyakit-penyakit dan gejala sosial hari ini boleh disembuhkan dengan mengikuti dan mematuhi kod moral dalam dalam agama seperti Rukun Iman dalam Islam dan Ten Commanments dalam ajaran Kristian. Kehidupan satu-satu masyarakat itu akan berkualiti dan harmoni jika ianya berlandaskan ajaran Tuhan.Agama sebenarnya ialah makanan yang amat diperlukan oleh jiwa yang mana keperluan jiwa ini lebih penting dan lebih besar daripada keperluan fizikal manusia.

Dari segi pragmatisme, seseorang itu menganut sesuatu agama adalah disebabkan oleh fungsinya. Bagi kebanyakan orang, agama itu berfungsi untuk menjaga kebahagiaan hidup. Sebenarnya, agama dikatakan memainkan peranan yang begitu penting dalam mengasaskan pembentukkan tamadun kerana agama mampu mengubah corak kehidupan masyarakat selain mempengaruhi cara pemikiran dan pandangan semesta mereka

Selain itu juga,agama berperanan kepada masyarakat melalui sistem yang membina iaitu sistem pendidikan agama, dengan penglibatan badan-badan agama dan kerajaan memberi kesan langsung atau tidak langsung dalam masyarakat menambah pengetahuan agama dan berpotensi dalam meningkatkan kefahaman kepada masyarakat dan penelesaiaian yang baik melalui sistem pendidikan .Dengan ini pendidikan agama dapat menjadikan masyarakat lebih konsisten dengan prinsip agama yang masyarakat anuti disamping melatih dan mendidik masyarakat mematuhi dan mengamalkan nilai prinsip agama masing-masing.

Di samping itu juga agama berperanan mempengaruhi nilai pegangan dalam masyarakat ,hal ini dapat dilihat melalui adat resam masyarakat dan amalan agama yang di praktikkan oleh masyarakat itu sendiri.hal ini juga pengaruh nilai agama dapat memelihara keharmonian agama dikalangan setiap penganut agama itu sendiri .yang mana setiap penganutnya di seru kepada pendamaian ,kerukunan hidup sesama manusia.

Selain itu juga agama berperanan memberi pandangan kepada dunia tentang sesuatu budaya manusia dimana Agama dikatakan sentiasanya memberi penerangan mengenai dunia(sebagai satu keseluruhan), dan juga kedudukan manusia di dalam dunia dan Penerangan bagi pekara ini sebenarnya sukar dicapai melalui akal manusia, melainkan sedikit penerangan daripada falsafah. Contohnya, agama Islam menerangkan kepada umatnya bahawa dunia adalah ciptaan Allah(s.w.t) dan setiap manusia harus menaati Allah(s.w.t).

Agama juga berperanan Menjawab pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab oleh manusia.Sesetengah soalan yang sentiasa ditanya oleh manusia merupakan soalan yang tidak terjawab oleh akal manusia sendiri. Contohnya soalan kehidupan selepas mati, matlamat hidup, soal nasib dan sebagainya. Bagi kebanyakan manusia, soalan-soalan ini adalah menarik dan untuk menjawabnya adalah perlu. Maka, agama itulah berfungsi untuk menjawab soalan-soalan ini.

Antara lain agama juga Memberikan rasa kekitaan kepada sesuatu kelompok manusia dimana agama merupakan satu faktor dalam pembentukkan kelompok manusia. Ini adalah kerana sistem agama menimbulkan keseragaman bukan sahaja kepercayaan yang sama, malah tingkah laku, pandangan dunia dan nilai yang sama.

Selain itu agama Memainkan fungsi kawalan sosial yang amat penting.ini kerana keseluruhan agama di dunia adalah menyuruh kepada kebaikan. Dalam ajaran agama sendiri sebenarnya telah menggariskan etika yang wajib dilakukan oleh penganutnya. Maka ini dikatakan agama memainkan fungsi kawalan sosial.

Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan pengembangan peradaban mereka. walaupun pemikiran sekular telah lama wujud, contohnya di Barat, nilai agama masih terus bertahan dan berperanan dalam pembentukan masyarakatnya. Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara.

Dalam Islam nilai agama bertunjangkan kepada tauhid dan bersendikan akidah. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang berpandukan kepada ajaran dan panduan al-Quran dan sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat.

_______________________________________________________________________________________


3 ) Pengaruh agama ke atas masyarakat majmuk .

Berbagai agama telah lahir di dunia ini dan membentuk suatu syariat (aturan) yang mengatur kehidupan manusia, yang terkandung di dalam kitab-kitab suci, baik agama samawi (yang bersumber dari wahyu Ilahi) ataupun yang terdapat dalam agama ardli (budaya) yang bersumber dari pemikiran manusia. Semua agama-agama, baik samawi ataupun ardli, memiliki fungsi dalam kehidupan manusia. Berbagai fungsi tersebut adalah menunjukkan manusia kepada kebenaran sejati ,menunjukkan manusia kepada kebahagiaan hakiki dan mengatur seluruh kehidupan manusia dalam kehidupan .

Dari hakikat dan fungsi agama seperti yang disebutkan itu, maka pemeluk agama-agama yang ada di dunia ini, telah memiliki strategi, metod dan teknik pelaksanaannya masing-masing, yang sudah tentu terdapat berbagai perbezaan antara satu sama lain.

Agama telah memainkan fungsi dalam kehidupan manusia ,setiap penganutnya yang kuat beragama akan mempunyai pegangan dalam akidah . Dengan memeluk agama Islam sebagai anutan dan amalan hidup maka manusia secara individu dan kolektif melaksanakan ketaatan kepada Tuhan dan kebenaran yang diturunkan oleh-Nya; dan dengan demikian juga manusia hidup dengan kerendahan dan ketundukan kepada Tuhan dan kebenaran yang diturunkan itu. Inilah yang menjamin kebahagiaan hakiki bagi manusia dari hidup dalam alam ini sampai hidup ke alam akhirat, sebab manusia dilahirkan untuk mencapai keabadian diri kepada Tuhan bukan untuk melakukan perkara yang sia-sia .

Penerimaan agama Islam oleh masyarakat tradisional bukan sahaja membawa pengaruh kepada akidah, tetapi ia juga membawa pengaruh terhadap aspek kehidupan yang lain:

(Dari segi pentadbiran,)
Islam telah mempengaruhi pentadbiran Kerajaan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan lain seperti Kedah, Johor dan Terengganu. Ciri-ciri kerajaan ini berubah menjadi sama seperti ciri-ciri pentadbiran kerajaan di Timur Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Konsep dewaraja telah diambil alih oleh konsep Sultan yang menganggap Sultan sebagai zul-illahi-fil-alam iaitu pegangan bahawa Sultan itu adalah amanah Allah s.w.t. di muka bumi. Sultan juga dianggap sebagai Aminul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Dalam sektor agama, Sultan menjadi ketua agama Islam dan baginda bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelatanya. Selain daripada peranan Sultan, ahli-ahli sufi dan ulama-ulama juga menjadi penasihat tentang agama Islam kepada raja. Kini, agama Islam telah dijadikan sebagai agama rasmi.

(Dari segi undang-undang, undang-undang)
Islam memainkan peranan dalam kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan yang penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam telah menjadi tunjang kepada undang-undang bertulis seperti Hukum Kanun Melaka. Hal ini pula diwarisi oleh negeri-negeri Melayu yang lain pada hari kemudian. Sebagai contoh, Undang-undang 99 Perak dan Undang-undang Pahang. Selain itu, undang-undnag syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-ehwal perkahwinan dan pembahagian harta pusaka juga diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang akan memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Walaupun hakim dan kadi menjadi tokoh yang memelihara undang-undang, tetapi rajalah yang akan menjatuhkan hukuman. Baginda akan menjatuhkan hukuman mengikut hukum adat dan bukan hukum Islam.


(Dari segi kehidupan masyarakat,)
Kehadiran agama Islam telah mengubah cara hidup mereka. Kepercayaan asal iaitu animisme, Hindu dan Buddha telah berubah menjadi agama Islam. Agama Islam telah mengubah cara pemikiran orang Melayu. Mengikut agama Islam, ia menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran mereka. Selain itu, unsur-unsur metafizik telah terterap ke dalam nilai hidup msyarakat tempatan. Kini, masyarakat Melayu mempunyai pandangan dan falsafah hidup yang berkaitan dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Islam juga membawa pengaruh kepada adat resam masyarakat tempatan. Agama Islam telah membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Masyarakat Melayu telah membuat penyesuaian antara unsur-unsur Hindu dan Islam untuk mengelakkan amalan yang diamalkan pada dahulu kala bertentangan dengan ajaran Islam. Agama Islam telah menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf atau sistem kasta. Mengikut agama Islam, semua umat Islam merupakan stu gagasan. Mereka haruslah sentiasa beriman dan bersaudara dan menjadikannya sebagai prinsip ke arah perpaduan masyarakat. mereka juga menganggap orang asing yang beragama Islam adalah saudara mereka. Antara adat resam yang banyak dipengaruhi oleh Islam ialah adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, aspek Islam yang baru juga diamalkan, contohnya membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan.

(Agama juga memberi pengaruh yang kuat dari segi pendidikan)
Masyarakat Melayu tradisional. Pendidikan formal mula wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka dengan kedatangan pada pendakwah dan alim ulama agama Islam. Istana telah dijadikan pusat pendidikan, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim ulama dari negara-negara Arab, India dan Parsi. Di sini, mereka akan berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Istana juga menjadi khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi, contohnya, Hikayat Abu Samah dan Hikayat Nabi Yusof. Mereka mengadakan pendidikan Islam dengan tujuan melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang agama Islam, memupuk akhlak mulia dan sebagainya.

Para ibu bapa sangat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Mereka menghantar anak-anak mereka ke rumah tok guru untuk menerima pelajaran agama. Pada peringkat pertama, mereka akan belajar tentang muqaddam dan al-Quran mengikut tajwid yang betul. Pada peringkat kedua, mereka akan belajar tentang fardu ain dan akhlak mulia. Pelajar-pelajar ini tidak dikenakan bayaran tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantar padi, beras, ubi sebagai membalas budi tok guru. Selepas peringkat ini, mereka akan melanjutkan pelajaran ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang ilmu agama. Di sini, mereka terus mempelajari tentang al-Quran, mendalami fardu ain pada siang pagi. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran, iaitu seseorang itu menghadapi kesulitan untuk memahami sesuatu kitab, mereka akan hafalkannya sahaja. Walaupun pendidikan ini berbentuk formal, namun ia adalah kurang teratur kerana bilangan murid yang tidak terhad dan gurunya berkhidmat secara sukarela.

(Kebudayaan dan kesenian)
Manakala fungsi agama juga mempengaruhi masyarakat iaitu dalam kebudayaan dan kesenian.Contohnya dalam agama islam .Kesenian, ilmu sastera dan sains dalam Islam adalah berdasarkan kepada tauhid, yang merupakan paksi bagi wahyu dalam Islam. Sebagaimana yang dapat dilihat dalam kesenian Islam yang murni baik dalam bentuk istana Alhamra atau Taj Mahal yang menzahirkan bentuk dan rupa yang melaluinya dasar tauhid itu dijelmakan dan disaksikan, demikian juga dalam ilmu-ilmu dalam peradaban dan kebudayaan Islam didapati penzahiran dan kesatuan dalam alam tabii itu sendiri, yang juga menjadicermin bagi penyaksian Keesaan Tuhan. Dan sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Nasr bahawa tujuan semua ilmu Islam, dan secara amnya semua ilmu kosmologi zaman tengah dan purba, adalah bertujuan untuk menunjukkan kesatuan dan dasar saling hubung-menghubungi yang ada antara sekalian yang maujud ini; maka dengan memandang keesaan dan kesatuan alam ini dalam kebudayaan Islam dan konsep ilmunya, insan dibawa untuk menyaksikan keesaan Penciptanya itu sendiri.

_______________________________________________________________________________________


(4)Agama dalam masyarakat majmuk: Dari konteks Malaysia

Malaysia mempunyai rekod cemerlang sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya. Ia tidak seperti banyak negara majmuk lain yang menghadapi masalah besar dalam mengimbangi kebebasan pengaruh nilai dan beragama dalam masyarakat. Masyarakat yang gagal menjamin kebebasan beragama akan gagal mewujudkan keharmonian.
Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.

Dalam soal memelihara keharmonian agama, masyarakat bukan Islam dan Islam mempunyai peranan sama penting. Di pihak bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua.

Kalau pun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrontasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan harus dielakkan bagi menjamin keutuhan sebuah masyarakat dan negara.

Kegagalan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik, yang pada akhirnya membawa kepada krisis kemanusiaan.
Semua agama, Islam, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian mengalami keadaan di mana ia diheret dalam kancah konflik, sedangkan semua agama ini menyeru kepada kedamaian dan kerukunan hidup sesama manusia. Keadaan ini berlaku kerana pelampau yang mengambil kesempatan dalam sesebuah masyarakat. Mereka akan mengambil kesempatan daripada sesuatu yang amat sensitif kepada manusia iaitu nilai agama bagi mencetuskan kekecohan demi memenuhi kepentingan tersembunyi. Agenda sebenar mereka mungkin penguasaan politik atau pemerintahan, ekonomi atau penguasaan wilayah.
Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Sebagai anutan majoriti, nilai Islam menjadi asas kepada membina keharmonian masyarakat di Malaysia dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak.

Sejak akhir-akhir ini,timbul di negara ini beberapa persoalan seperti benarkah Islam agama eksklusif yang menafikan hak dan keistimewaan agama lain sebagaimana didakwa? Apakah Islam tidak meraikan kepelbagaian kaum dan agama dalam sesebuah negara? Atau adakah Islam tidak memperakui kontrak sosial yang mempertahankan hak dan kebebasan beragama?

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Islamlah agama terawal yang merumuskan formula kontrak sosial sebagaimana terangkum dalam Piagam Madinah. Bahkan kontrak sosial yang terbentuk melalui Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi itu merupakan dokumen perlembagaan terawal yang menggariskan prinsip kebebasan dan jaminan hak yang sama di kalangan pelbagai kaum.

Kontrak sosial tersebut jelas memperincikan dan mempertahankan hak, keistimewaan, kebebasan dan keadilan setiap kaum di Madinah termasuklah kaum minoriti Yahudi dan bangsa Arab lain yang bukan Islam. Malah daripada 47 fasal yang terkandung dalam Piagam tersebut, 24 daripadanya adalah peruntukan hak dan kewajipan masyarakat minoriti Yahudi.

Prinsip kebebasan beragama amat dititikberatkan Rasulullah s.a.w. hingga baginda secara jelas menegah sebarang usaha merobohkan gereja dan tempat peribadatan agama lain bagi digantikan dengan pembinaan masjid. Paderi-paderi dan ketua-ketua agama lain yang tinggal di Bukit Sinai umpamanya turut diberikan perlindungan khusus oleh Rasulullah daripada sebarang ancaman musuh.

KESIMPULAN:

Kesimpulannya, maka dapatlah kami simpulkan bahawa betapa pentingnya kedudukan agama dalam pembangunan, karana agama tidak hanya sekadar pembinaan kesusilaan semata- mata, tetapi juga sebagai pengarahan dan pendorong umatnya untuk bergiat aktif bersama-sama dalam membangun masyarakat, bangsa dan Negara dalam mengisi kemajuan ketamadunan bangsa bagi mencapai tujuan yang telah ditetapkan yakni pembangunan disegala bidang termasuk pembangunan manusia seutuhnya, demi tercapainya kehidupan masyarakat yang tenteram, damai, adil dan makmur. Untuk itu, tujuan yang paling tepat dalam membina dan membangunkan manusia adalah AGAMA iaitu dengan mempelajari, memahami dan mengamalkan ajaran-ajaran agama yang sesuai dengan apa yang telah tersurat dan tersirat dalam kitab suci agama. Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama.

Artikel ini pada asalnya ialah assignment Admin untuk subjek "Agama dan Masyarakat" , Admin ambil subjek ini di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM

2 comments:

  1. boleh trangkn x konsep masyarakat majmuk menurut isalam?

    ReplyDelete
  2. Boleh xterangkn konsep agama menurut orang india??sy difahamkn Perkataan 'agama'berasal dr india.lpas tu dtrapkn ke bhse mlayu..
    # btulkn jika sy salah..

    ReplyDelete